Saturday 22 February 2014

Kisah Syahid Yang Tertangguh ~Ahmad Ammar Ahmad Azam (Mujahid)

Ahmad Ammar, Kisah Syahid Yang Tertangguh |  "Syahid Yang Tertangguh ", begitulah gelaran yang diberi oleh rakan allahyarham Ahmad Ammar. Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya ketika Awal Muharram di Istanbul, Turki. 


 

Berikut adalah salinan/olahan dari beberapa artikel dari laman web yang menceritakan serba sedikit tentang biodata dan kisah ringkas allahyarham Ahmad Ammar.


Ahmad Ammar telah memilih bidang sejarah di Universiti  Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya.



Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan ibunya Puan Nur Azlina Aziz. Beliau merupakan anak keempat dan satu-satunya anak lelaki Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

 

Ahmad Ammar merupakan pelajar yang sangat cemerlang SPM di RMC, namun memilih menyambung pengajian di bidang Sejarah di Turki, bersama harapan dan perancangan kedua ibu bapanya juga, untuk menjadikan dirinya pemimpin negara kita yang pakar dalam sejarah khususnya Sejarah Uthmaniyyah, dan fasih bertutur di dalam bahasa Turki serta mendapat pendidikan di sana.

Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang.

Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria.   

 

Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. Allahu Akbar! Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”.

Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik. Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad dalam angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.

Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari.  Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari? Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain?

Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah.

Taqdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan. Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’:

“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. Malah catatan terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:

“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”

 

Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulan. Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara.

Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini.

Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar. Masya Allah Tabarakallah!

Al-Fatihah. 



Memoir Terakhir Ahmad Ammar Ahmad Azam

 


 


“Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hanya pada hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan di masukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya.  (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” -al-imran:185

“Andai aku syahid, kebumikan aku di pinggir Constantinople. Agar pada suatu hari nanti, apabila aku mendengar tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku, tahulah aku bahawa janji Nabi, telah tertunai!”
 – Abu Ayyub al-Ansari r.a. 44H –








Sunday 16 February 2014

"MUMIA" , Dr Bucaille memeluk islam

Pernahkah kita baca perihal kisah keislaman DR Bucaille atau kini lebeh dikenali sebagai Dr Yahya Maurice seorang doktor pakar bedah yang terhebat di negeri Eropah ? Jika belum mengetahuinya..mari lapangkan dada mengetahui perihal apakah yang menyebabkan Dr Bucaille boleh memeluk agama Allah (s.w.t) dan sesungguhnya agama Allah itu benar dan lurus.....

 

PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.